Isu dana: Finas diminta beri taklimat penuh untuk selesai masalah - Fahmi

Bernama
Januari 18, 2023 00:17 MYT
Fahmi secara umum berkata ia berkaitan pembaziran serta pemberian dana kepada pihak yang mungkin tidak patut terima, selain melibatkan pembayaran tetapi projek tidak siap. - Gambar fail
PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mendapatkan taklimat penuh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhubung segala masalah dihadapi perbadanan itu serta tindakan yang boleh diambil.
Fahmi berkata demikian ketika memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini telah menyentuh berkenaan teguran Jabatan Audit Negara terhadap Finas tentang beberapa isu berkaitan dana yang disampaikan kepada penerima terutama dari tahun 2017 hingga 2021.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memperincikan teguran tersebut secara khusus kerana perkara itu perlu dibentang di Parlimen terlebih dahulu, namun secara umum berkata ia berkaitan pembaziran serta pemberian dana kepada pihak yang mungkin tidak patut terima, selain melibatkan pembayaran tetapi projek tidak siap.
"Jadi saya harap dalam masa yang terdekat kami akan lantik pengerusi lembaga bagi Finas serta ahli-ahli lembaga yang baharu dan kami harap mereka akan berusaha untuk memperbaiki isu-isu yang telah dibangkitkan.
"Pada masa sama saya lihat Ketua Pegawai Eksekutif Finas pada waktu ini serta pasukan sedang meneliti dan berusaha untuk mengatasi masalah, cuma saya akan minta satu sesi taklimat penuh untuk saya faham apakah semua kebobrokan yang dimaksudkan dan sekiranya pihak Finas ingin (mencari penyelesaian) apakah tindakan-tindakan yang akan diambil," katanya ketika hadir untuk tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho di sini, malam tadi.
#Fahmi Fadzil #FINAS #peruntukan #dana
;