Isu dakwat kekal: Seorang lagi anggota tentera dihukum langgar protokol

Astro Awani
Januari 28, 2015 09:22 MYT
Isu dakwat kekal: Seorang lagi anggota tentera dihukum atas dakwaan langgar protokol. - Gambar Fail
Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat sarjan diturunkan pangkat kerana melanggar protokol, lapor The Malaysian Insider.
Portal tersebut memetik kenyataan sumber mendakwa anggota TUDM itu menerima hukuman tersebut kerana membuat laporan polis bersama Mejar Zaidi Ahmad berhubung isu dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013.
Arahan kepada juruteknik Jamil Ibrahim yang berpangkalan di kem TUDM Butterworth, Pulau Pinang dikeluarkan beberapa hari lalu, selepas Zaidi dipecat pada 12 Januari, 2015 kerana didapati bersalah di atas dua pertuduhan melanggar protokol kerana mendedahkan masalah berhubung dakwat kekal.
“Zaidi didapati bersalah dan secara automatiknya Jamal juga. Dia tidak dibicarakan di mahkamah tetapi tetap dihukum kerana pertuduhan itu,” sumber itu dipetik sebagai berkata.
Difahamkan, Jamal hanya dibicarakan di hadapan Pegawai Pemerintah di Kem TUDM Butterworth dan diberikan pilihan sama ada membawa kesnya ke Mahkamah Tentera atau dibicarakan Pegawai Pemerintah dan dia memilih pilihan kedua.
Jamal, yang sudah berkhidmat bersama TUDM selama 20 tahun dijangka akan bersara pada 2016 mungkin kehilangan peluang kenaikan pangkat pada masa akan datang.
Sumber tersebut memberitahu The Malaysian Insider, gaji Jamal akan diturunkan dan berkemungkinan tidak akan melawan kesnya kerana hanya tinggal setahun sebelum bersara.
Portal itu juga menghubungi Zaidi, dan bekas pegawai tentera itu memberitahu Jamal hanya memaklumkan kepada media bahawa beliau juruteknik kem TUDM Butterworth
“Dia didakwa kerana bercakap dengan media. Tetapi, satu-satunya perkara yang dia beritahu media adalah dia juruteknik kem TUDM Butterworth,” katanya.
Manakala Bersih 2.0 memberitahu mereka cuba mendekati Jamal dan bertanya jika dia memerlukan peguam untuk kesnya tetapi ditolak.
“Dia beritahu kita dia mahu tunggu hingga kes Mejar Zaidi selesai,” kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
#dakwat kekal #PRU #TUDM
;