Isu dakwaan rasis: Guru Besar SJKC dipindah sementara ke PPD
Kohilah Sekaran
Januari 16, 2016 13:47 MYT
Januari 16, 2016 13:47 MYT
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Khamis mengarahkan agar guru besar sebuah sekolah di Mersing, Johor dipindah sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai.
Ia susulan isu dakwaan rasis yang dilapor berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor baru-baru ini.
Sementara itu, tiga guru terlibat juga akan dipindahkan dari sekolah tersebut.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, Mahdzir berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk membantu siasatan insiden dan laporan dijangka siap dalam tempoh tiga hari.
Beliau juga menggesa orang ramai agar bertenang kerana isu seperti ini jarang berlaku.
Sebelum ini, viral di media sosial laporan seorang guru dari sekolah tersebut yang mendakwa diserang bapa seorang murid kerana memarahi anaknya.
Dalam laporan tersebut, guru berkenaan mendakwa bapa murid tersebut menghinanya serta membaling buku di bilik guru.
Selain itu, guru berkenaan juga mendakwa guru besar itu pernah cuba menghalau dia dan dua lagi guru dari sekolah berkenaan tanpa sebab munasabah.