Isu dakwaan kekerasan di depoh tahanan Imigresen, masih tiada wakil HRW tampil - KDN

Bernama
April 6, 2024 08:21 MYT
Saifuddin bercakap pada sidang media majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Warga JIM Bersama Menteri Dalam Negeri di Depot Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur, 5 Apr 2024. Turut hadir Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh (kanan). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada wakil daripada Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) hadir untuk mengadakan pertemuan dengan pihaknya berhubung dakwaan berlaku kekerasan di depoh tahanan Imigresen.
Beliau berkata meskipun pihaknya sudah menyatakan kesediaan untuk bersemuka bagi menjawab dakwaan itu namun sehingga kini, badan bukan kerajaan itu masih belum memberi sebarang maklum balas.
Saifuddin Nasution berkata HRW membuat laporan yang tidak wajar kerana Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa berusaha menjaga kebajikan tahanan di depohnya malah sudah banyak bertolak ansur.
"Terdapat pendatang dari Filipina dan Amerika Syarikat (AS) yang sudah berada lama di negara ini seperti lapan hingga sembilan tahun.
"Contoh, apabila ditanya, dia kata warga AS tetapi bila disemak dengan kedutaan AS, mereka tidak perakui tahanan ini," katanya dalam sidang media pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Warga JIM di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini malam tadi.
Beliau berkata walaupun identiti mereka tidak diperakui, pihak Imigresen masih menjaga mereka.
"Tiba-tiba HRW lapor kita berlaku kejam pula. Kalau betul-betul nak (menjaga) hak asasi manusia maka bantu kita uruskan mereka ini dengan lebih baik. Hal ini sepatutnya HRW bantu kita," katanya.
Saifuddin Nasution berkata ketika ini, terdapat 20 depoh Imigresen di seluruh negara dengan kapasiti 20,450 tahanan namun setakat 31 Mac lepas, jumlah yang ditempatkan di depoh ialah 13,530 iaitu di bawah kapasiti maksimum.
Mengulas mengenai perbelanjaan kerajaan untuk membiayai tahanan di depoh terbabit di seluruh negara, beliau berkata sebanyak RM122,645,458.48 dikeluarkan bagi kos penghantaran pulang, pengurusan perbelanjaan utiliti, makan minum dan barangan keperluan asas mereka.
"Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM209.2 juta untuk menaik taraf depoh tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan, Pekan Nanas di Johor, Bekenu di Sarawak serta Sandakan dan Tawau di Sabah yang dijangka siap pada 9 Jun ini.
"Projek menaik taraf ini termasuk pagar keselamatan, rakaman kamera litar tertutup dan penggera keselamatan bagi tujuan kawalan pemantauan," katanya.
-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #Depoh tahanan #Imigresen #HRW
;