Isu dadah: Cadangan tempatkan tentera di Pulau Langkawi akan dibincang - Mukhriz
Adie Sufian Zulkefli
Jun 25, 2019 16:49 MYT
Jun 25, 2019 16:49 MYT
Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat berhubung cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menempatkan pasukan tentera di Pulau Langkawi bagi menangani isu dadah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata biarpun belum mendapat maklumat lengkap berkenaan perkara itu, cadangan tersebut akan dibincang secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan.
Menurutnya, beberapa zon panas yang dipercayai menjadi lubuk dadah di pulau pelancongan itu juga dikesan.
"Kita kenal pasti beberapa zon panas di Langkawi yang menjadi lubuk dadah. Saya mendapat laporan daripada Polis Diraja Malaysia mengenai serbuan dan tangkapan telah dibuat berkali-kali.
"Saya belum lagi dapat maklumat tentang penglibatan pihak tentera. Kalau ada cadangan seperti itu di bawah yang berhormat Tun (Dr Mahathir), kita akan bincang.
"Saya faham mungkin Tun (Dr Mahathir) mahu selesaikan masalah ini sekali gus, tak mahu lagi timbul isu-isu seperti ini," kata Mukhriz.
Beliau berkata kepada media selepas melancarkan Kilang Mixer 5 Continental, di Alor Setar, Kedah pada Selasa.
Semalam, Dr Mahathir berkata Langkawi memerlukan sebuah pasukan tentera yang besar untuk menjaga keseluruhan kawasan pantai berikutan polis dan agensi penguat kuasa lain tidak mampu menangani aktiviti penyeludupan dadah di situ.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan negeri sedia maklum mengenai aktiviti tidak sihat di Bukit Malut dan sudah mengambil langkah awal tanpa menghebahkannya kepada umum.
"Banyak masalah di Langkawi tertumpu di Bukit Malut -- dadah, penyeludupan dan macam macam lagi.
"Perkara ini saya sudah laporkan kepada YAB Perdana Menteri dan dia sedia maklum perkara ini," kata Mukhriz.
Namun, katanya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Majllis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap komuniti di situ.
#Langkawi
#lubuk dadah
#Mahathir Mohamad
#Menteri Besar
#Mukhriz Mahathir
#pasukan tentera
#tempatkan tentera