Isu cincin berukir lambang Sultan Johor, Wak Doyok dipanggil beri keterangan

Astro Awani
April 30, 2020 21:08 MYT
Wak Doyok membeli dan menggunakan cincin berukir lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Gambar/Instagram Wak Doyok
Personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada Khamis.
Ia susulan tindakan selebriti itu yang membeli dan menggunakan cincin berukir lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Wak Doyok atau nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 41 tahun, hadir ke IPD Iskandar Puteri pada jam 11 pagi.
“Dia beli cincin itu dah lama iaitu pada tahun 2018. Dia beli dalam talian dengan menempah dari sebuah syarikat di Indonesia.
“Satu laporan telah dibuat pada 28 April di IPD Iskandar Puteri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.
“Wak Doyok berdepan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Jelas Ayob Khan, kertas siasatan akan disiapkan dan diberi kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan.
Beliau turut memberi amaran agar jangan sewenang-wenangnya mengguna, memakai atau membuat lambang diraja, kerana ia satu kesalahan.
Sebelum ini, Wak Doyok dilaporkan memohon maaf kepada keluarga diraja Johor apabila dia menempah sebentuk cincin ukiran lambang peribadi Sultan Johor.
Ia selepas ditegur Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di Instagram.
#cincin #Instagram #Johor #siasatan #Sultan Ibrahim #Sultan Johor #Wak Doyok
;