Isu 'chopstick': Kenyataan Tun Mahathir disalah tafsir - Pejuang

Hilmi Malik
Disember 13, 2021 20:49 MYT
Kenyataan yang disampaikan Tun Mahathir telah disalah anggap dan tidak melihat kepada konteks sebenar, ujar Pejuang.
KUALA LUMPUR : Kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penggunaan chopstick telah disalah tafsir sesetengah pihak dan digunakan sebagai bahan politik.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin berkata, kenyataan itu sama sekali tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak di negara ini.
Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada keunikan masyarakat di negara ini yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dan budaya tersendiri.
“Konteks sebenar yang ingin disampaikan lebih kepada bagaimana rakyat di negara ini sedia bekerjasama tanpa ambil kira soal perbezaan sentimen bangsa.
“Selagi masyarakat di negara ini menumpukan soal perbezaan, maka usaha untuk menyatukan kaum di negara ini mungkin agak sukar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dr Mahathir dan analogi chopstick
Mengambil contoh kehidupan seharian, Ulya Aqamah menyatakan masih ada segelintir individu yang mengutamakan soal kaum di kawasan penempatan mereka.
Ujarnya, perkara itu sudah cukup menggambarkan bahawa masyarakat di negara ini lebih menitikberatkan soal kaum berbanding menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Ada kalanya, perkara yang benar itu agak sukar untuk diterima namun ia perlu ada jalan penyelesaian.
“Kenyataan itu sepatutnya dijadikan sebagai panduan bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk negara,” katanya lagi.
Sebelum ini , Tun Mahathir menerusi kenyataannya berkata, penggunaan chopstick ketika makan menyebabkan Malaysia tidak mempunyai identitinya.
Kenyataan itu sekali gus membuatkan ramai pihak tidak berpuas hati selain menyifatkan ia sebagai satu kenyataan yang berunsurkan perkauman.
#Mahathir Mohamad #Ulya Aqamah Husamuddin #chopstick #Pejuang
;