Isu 'cekak leher': Syed Saddiq enggan tarik balik laporan polis
Bernama
Februari 20, 2019 05:41 MYT
Februari 20, 2019 05:41 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan insiden diserang penyokong Barisan Nasional (BN) pada 16 Feb lalu.
"Tidak (untuk menarik balik laporan polis), kita kena berani kerana benar... polis dah ada gambar, ada video dan keterangan saksi, jadi saya biar mereka putuskan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jentera Pemuda Pakatan Harapan (PH) dekat sini, malam tadi.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes melibatkan Syed Saddiq, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.
Wan Muhammad Azri, 36, direman sejak Isnin lepas bagi membantu siasatan dakwaan serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah dilaporkan berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut.
Syed Saddiq mendakwa beliau diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
--BERNAMA
#Barisan Nasional
#hari penamaan calon
#Papagomo
#penyokong BN
#polis
#PRK Semenyih
#serang
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Wan Muhammad Azri Wan Deris