Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan kini dalam proses merangka rang undang-undang itu.
Beliau berkata sudah tiba masanya negara mengambil serius langkah bagi menangani isu pembuangan sampah dengan segera kerana ia sudah lama membarah dalam kalangan rakyat.
"Sekarang ini zaman media sosial, sekiranya kita tidak menjaga kebersihan maka pelancong datang dan dia buat TikTok maka nama negara kita yang terjejas... ia (undang-undang) telah diperkenal dan berjaya dilaksana selama bertahun-tahun di kebanyakan negara maju.
"Justeru itu, adalah amat penting untuk kita memberikan gambaran serta imej yang baik tentang negara kita yang tercinta kepada mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Cuci Malaysia 2024 di sini hari ini.
Nga juga berkata Malaysia menjangkakan ketibaan 35 juta pelancong yang akan menjana RM147 bilion daripada aktiviti sektor itu susulan penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa.
Sebelum ini, beliau berkata kementerian itu sedang mengkaji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata.
Nga juga berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menganjurkan 'Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega' di Pasar Seni Sabtu ini.
Beliau berkata sempena acara itu, sejumlah 156 pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia akan menganjurkan gotong-mega secara serentak bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai masalah tapak pelupusan sampah haram yang semakin berleluasa dan kepentingan mengurangkan penghasilan sampah.
"Selain kerja-kerja pembersihan, tiga rekod Malaysia Book of Records akan turut dicipta dan dipecahkan iaitu bilangan penyertaan teramai serentak di seluruh negara, jumlah kutipan sisa isi rumah pepejal terberat dan masa gotong-royong paling lama iaitu selama 12 jam," katanya.
Nga berkata Kempen Hari Cuci Malaysia menyasarkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Program Perumahan Rakyat, komuniti PRIMA home serta semua kementerian dan rakan strategik.
-- BERNAMA