Isu BR1M: Tun Mahathir sudah tidak rasional lagi - Pemuda UMNO Kedah

Astro Awani
Disember 26, 2016 21:05 MYT
SHAIFUL: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan BR1M sebagai rasuah merupakan satu penghinaan kepada golongan rakyat bawahan. - Gambar fail
Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah merupakan satu penghinaan kepada golongan rakyat bawahan.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengeluarkan kenyataan bukan berdasarkan pertimbangan akal yang rasional, tetapi lebih kepada emosional melampau, dendam dan kebencian ekstrim.
"Hakikatnya BR1M adalah insentif kebajikan sosial yang sudah lama diamalkan di Great Britain misalnya melalui pemberian elaun sosial kepada pengangur, ibu tunggal dan juga golongan keluarga yang memiliki ramai anak.
"Demikian juga mekanisme yang sama diamalkan di Thailand melalui pemberian tunai bagi berbelanja kepada keluarga berpendapatan rendah.
"Dalam konteks Belanda dan beberapa buah negara maju insentif diberi melalui kupon makanan, konsep diskrimasi harga dengan penduduk tempatan dapat membeli sesuatu barangan dengan harga lebih murah berbanding warga asing," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Media tempatan semalam melaporkan Dr Mahathir mendakwa BR1M merupakan satu bentuk rasuah dan dengan itu salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.
Dalam pada itu tegas Shaiful, Dr Mahahthir juga seharusnya lebih faham BR1M adalah satu mekanisme agihan untuk tujuan kebajikan sosial.
"Tujuh juta penerimanya pula dengan melibatkan peruntukkan hampir RM5 bilion tidak pernah disaring dari segi ideologi, latar belakang agama, kaum dan fahaman politik.
"Kerajaan komited ingin membantu rakyat sehingga ada peningkatan angka yang seharusnya dihargai oleh pihak-pihak tertentu.
"Sejak BR1M diperkenalkan tiga tahun lalu tidaklah pula pernah kedengaran ugutan atau kenyataan yang memaksa penerima BR1M agar menyokong parti pemerintah malahan BR1M ini diberikan tanpa pertimbangan sokongan terhadap parti-parti politik tertentu," jelasnya.
Shaiful turut berharap, Dr Mahathir dan parti pembangkang tidak terus menerus 'mempolitikkan' BR1M yang nyata dapat meringankan beban kewangan rakyat.
"Hakikatnya banyak lagi isu ataupun perkara lain yang boleh dipolitikkan selain daripada BR1M.
"Justeru tidak timbul soal rasuah kerana istilah rasuah bermakna memberi sesuatu dengan harapan mengharapkan balasan.
"Dalam konteks ini Tun Mahathir bukan sahaja menghina penerima BR1M khususnya dari kalangan B40 malah turut menghina ahli partinya sendiri PPBM dan ahli dari rakatan pakatan yang kita percaya turut tersenarai selaku penerima BR1M," katanya.
Shaiful turut mencabar ahli parti Dr Mahathir dan rakan pakatannya menolak pemberian BR1M jika merasakan kenyataan ketua mereka itu benar.
"Biarlah akhirnya agihan ini dapat diberikan pada orang lain yang lebih tahu menghargai demi memastikan agenda kebajikan sosial kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan semurni mungkin," ujarnya.
#BR1M #Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin #Dr Mahathir #Pemuda UMNO Kedah #PPBM
;