Isu BR1M-SSM: Menteri jamin tiada tercicir terima bantuan

Harits Asyraf Hasnan
Mac 7, 2017 16:51 MYT
JOHARI: Pemohon yang layak untuk mendapatkan BR1M tidak akan tercicir daripada menerima bantuan itu. - Gambar fail
Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi jaminan pemohon yang layak untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan tercicir daripada menerima bantuan itu.
Bagaimanapun Menteri Kewangan Kedua itu berkata, setiap pemohon perlu mengemukakan permohonan yang lengkap termasuk pengesahan penyata kewangan atau lampiran buku bank.
Beliau sekaligus menafikan Kerajaan enggan memberi bantuan BR1M kepada pemohon yang mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Jamin dapat, saya bagi jaminan bahawa siapa yang berpendapatan RM4,000 ke bawah jamin dapat. Tapi kena ingat, dia kena isi rumah.
"Maknanya kata kalau suami dapat isteri tak dapat, isteri dapat suami tak dapat. Nombor dua bujang gaji RM2,000 ke bawah akan dapat. Siapa tidak dapat saya nak tahu.
"Tapi saya dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ramai yang tidak dapat atau kena tolak ini bukan kita tolak macam itu sahaja, makna kita tolak dan dia boleh rayu, sertakan penyata kewangan ataupun penyata kewangan, kalau tidak ada fotostat buku simpanan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di lobi Parlimen di sini hari ini.
BACA: Jangan polemikkan BR1M dengan kaitkan SSM - Shahidan
BACA: Lebih 8.2 juta permohonan BR1M diterima sehingga 14 Februari
Jelas Johari, sebelum ini ada peniaga yang mengaut keuntungan melebihi syarat BR1M masih menerima bantuan itu.
Justeru, jelasnya pemohon yang ditolak permohonan masih boleh mengemukakan rayuan dengan menyertakan lampiran yang diperlukan.
#BR1M #Datuk Seri Johari Abdul Ghani #LHDN #SSM
;