Isu boikot: Tak mungkin saya mahu bersekongkol dengan DAP - Chong Sin Woon

Astro Awani
Februari 4, 2015 15:45 MYT
CHONG SIN WOON: Tidak mungkin saya mahu bersekongkol dengan DAP. -Gambar fail
Dakwaan MCA akan bersekongkol dengan DAP dalam isu boikot peniaga Cina yang degil menurunkan harga barang susulan harga baharu minyak Ahad lepas dilihat sebagai karut semata-mata.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, isu itu kini sudah jauh menyimpang daripada landasan asal iaitu menurunkan harga barangan.
"Ia kini sudah jadi isu antara kaum, sampai menuduh kita mahu bekerjasama dengan DAP, ini sungguh tidak masuk akal.
"Ini isu nasional dan bukan isu kaum; tidak mungkin kita bersekongkol dengan DAP, jangan heret MCA dengan parti 'chauvanis' itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sin Woon mengulas desakan 92 Ketua UMNO bahagian dari seluruh negara yang meminta tindakan tegas diambil ke atasnya kerana menggesa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani‎, Datuk Seri Ismail Sabri digugurkan dari kabinet berikutan kenyataan mengenai peniaga Cina.
Mereka juga mengecam tindakan Sin Woon yang bukan sahaja mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Ismail Sabri, malah dikatakan secara terang telah menyatakan mahu berganding dengan DAP menyerang Ismail.
Dalam pada itu kata Sin Woon, kenyataannya mahu bekerjasama dengan DAP dilihat dimanipulasi sebuah portal yang meletakkan tajuk sensasi yang mengelirukan.
"Tajuk portal berkenaan disalah erti pembaca yang tidak membaca keseluruhan isi kandungan berita berkenaan.
"Sudah jelas saya setia dengan Barisan Nasional (BN). Bagaimana ada tuduhan saya mahu bersama DAP yang mempunyai perjuangan 'chauvanis'. MCA jelas bersandarkan dasar mahu berbincang, bermusyawarah dan perkongsian kuasa sejak dahulu sehingga bila-bila," jelasnya.
Ujarnya lagi, dia sentiasa membuka pintu perbincangan dan memberi penjelasan kepada UMNO dan BN seandainya perlu demi menjernihkan situasi kini.
"Cuma jangan seret isu perkauman, perbincangan isu ini adalah cara menurunkan harga selepas pengumuman harga minyak.
"Ia melibatkan semua, ia bukan fokus atau harus tersasar kepada satu-satu kaum sahaja," katanya.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini memberitahu, partinya kecewa dengan kenyataan Ismail dan menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim segera melakukan siasatan terhadap Ismail Sabri.
Pada Selasa, Jurucakap Himpunan bekas Pemuda UMNO, Datuk Zulkifli Alwi menyifatkan kenyataan kecaman MCA yang meminta singkir jawatan kepada Ismail terhadap kenyataannya mengenai isu peniaga Cina adalah bodoh, biadap dan tersasar.
Zulkifli berkata, MCA juga sengaja menimbulkan kenyataan berbaur kecaman sekali gus tanda jasa UMNO kepada parti orang Cina itu dilupakan sama sekali.
#boikot #chauvanis #Chong Sin Woon #DAP #MCA #UMNO
;