Isu berbangkit berhubung RUU Mufti dijawab Mohd Na'im - PM Anwar
Bernama
Oktober 13, 2024 17:01 MYT
Oktober 13, 2024 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang isu berbangkit berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 hanya akan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
"Perkara itu akan dijawab Menteri Agama (Mohd Na'im)", katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan LAWASIA kali ke-37 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media berhubung dakwaan peguam hak asasi Latheefa Koya bahawa RUU itu akan mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Mohd Na'im menjelaskan bahawa fatwa yang diwartakan di bawah RUU itu hanya mengikat orang Islam sahaja dan terhad di bawah bidang kuasa negeri.
Beliau berkata rang undang-undang itu bertujuan untuk menyediakan peruntukan berkaitan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta hal-hal berkaitan di Wilayah Persekutuan sahaja.
Selain itu, katanya penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan adalah ciri negara berdaulat dengan tiada individu bebas melanggar prinsip perlembagaan, selain sekatan kebebasan seseorang tidak bermaksud hak asasi dilanggar kerana keabsahan hak asasi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA