Isu beras: 'Saya tidak akan berganjak walau seinci' - Akmal

Sinar Harian
September 28, 2023 18:47 MYT
Dr Akmal berkata, tidak akan berganjak walau seinci untuk mempertahankan hak rakyat dalam isu bekalan beras tempatan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan kuasa yang dimiliki beliau bukan untuk diri sendiri sebaliknya demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menyatakan bahawa tidak akan berganjak walau seinci untuk mempertahankan hak rakyat dalam isu bekalan beras tempatan.
“Kamu mahu ‘berperang’? Teruskan,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Akmal pada Rabu menangkis kritikan yang dilontarkan oleh bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker kononnya membuat ugutan untuk membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
Beliau menasihati Lian Ker untuk mendiamkan diri sekiranya tidak mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.
Sebelum itu, tular video berdurasi tiga minit 24 saat yang menunjukkan Ketua Pemuda UMNO itu melakukan pemeriksaan secara mengejut di dua buah kilang beras di Melaka pada Isnin.
Menerusi video berkenaan, Akmal turut memberi amaran kepada pihak pengilang untuk menjual beras dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan dan jika gagal, pihaknya tidak tidak teragak-agak untuk menarik lesen kilang terbabit. - Sinar Harian
#isu beras #Akmal Saleh #ti lian ker #pengilang beras
;