Isu beras: KKD, KPDN sedia kerjasama tangkis berita palsu

Bernama
September 23, 2023 12:51 MYT
Teo Nie Ching (tengah) ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan khemah kepada Peniaga Pasar Pagi Merbau di Bandar Putra hari ini. - Foto Bernama
KULAI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menangkis berita palsu berhubung isu bekalan beras tempatan di pasaran.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai berita palsu serta informasi mengelirukan berhubung kekurangan barang keperluan asas itu.
"Paling penting adalah kita menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat supaya tiada pembelian panik berlaku. Saya rasa ini adalah fenomena bersifat sementara dan KKD akan membantu KPDN untuk menyampaikan mesej kepada rakyat supaya keadaan ini terkawal," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan khemah kepada peniaga di Pasar Tani Jalan Merbau, Bandar Putra di sini hari ini.
Pada program itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyerahkan 120 khemah kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil daerah ini.
Beliau berkata orang awam boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat berita palsu atau mengelirukan mengenai isu bekalan beras tempatan bagi membolehkan tindakan selanjutnya untuk diambil.
Sementara itu, Teo berkata peranan media arus perdana perlu diperkasa dalam menangani jenayah siber dan berita palsu di media sosial.
"Pada zaman ini media masih memainkan peranan sangat penting kerana di media sosial banyak informasi yang tidak ketahui daripada mana sumber mereka, jadi kita perlu bergantung kepada media arus perdana, tidak kira Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan juga surat khabar," katanya.
-- BERNAMA
#isu beras tempatan #Kementerian Komunikasi dan Digital #berita palsu #kpdn
;