Isu beras: 'Boleh tegur, tapi jangan maki hamun' - Mat Sabu
Faida Rahim
April 6, 2024 13:10 MYT
April 6, 2024 13:10 MYT
KLANG: Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Hj Mohamad Sabu menegur blok pembangkang agar berhati-hati dalam memberi kritikan atau teguran berhubung isu beras di negara ini.
Mohamad berkata tidak salah memberi teguran, tetapi sebaiknya dilakukan dalam cara lebih sesuai.
“Pembangkang itu hak mereka untuk terus kritik. Saya pun biasa jadi pembangkang, bagi saya mengkritik teguran, bangkangan itu perkara biasa.
“Cuma kita tidak setuju maki hamun. Mengkritik itu adalah perkara yang kita boleh terima, bahkan pandangan pun kita boleh terima.
"Teguran kita boleh terima... tapi maki hamun kita tak boleh terima,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran Semarak Syawal Agro MADANI di Pasar Tani, Taman Sri Andalas, di sini.
Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan KPKM seperti Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT), Op Jamin dan Operasi Beras Putih Tempatan selain meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan untuk memastikan ia mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
KPKM turut mengumumkan empat langkah tambahan bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran sejak tahun lalu.
Antara langkah itu adalah membuat analisis kimia ke atas sampel stok beras yang akan diambil di semua kilang beras, gudang pemborong dan pasar raya bagi mengenal pasti ketulenan jenis beras yang dijual di pasaran, sekali gus meneliti kemungkinan berlaku manipulasi bekalan berkenaan.