Isu bekalan telur: Peniaga harap kerajaan bincang dengan pengusaha, pembekal

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 27, 2022 17:25 MYT
Sebahagian peniaga dan pemborong berasakan isu kekurangan bekalan telur ketika ini agak 'pelik' dan perlu diselesaikan segera. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebahagian golongan peniaga kecil dan pemborong di sekitar ibu negara mencadangkan kerajaan mengambil tindakan lebih berkesan dalam menangani isu kekurangan bekalan telur yang masih berlanjutan pada ketika ini.
Antara lain, mereka mencadangkan kerajaan mencari jalan keluar berhubung isu itu termasuk menjalankan perbincangan dengan pemain industri.
Bagi seorang pengusaha restoran, Abdul Jamil Mokhtar, 54, tidak mustahil isu itu membabitkan peranan yang dimainkan oleh pengusaha dan juga pembekal telur, sehingga menyebabkan bahan keperluan tersebut sukar diperoleh dalam pasaran tempatan ketika ini seperti sebelumnya.
“Saya haraplah PM kita Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat atasi masalah ni. Tapi bukanlah dengan cara import dari negara lain kerana ia akan meningkatkan kos.
“Sebenarnya fokus di ladang-ladang ternakan dan pengeluaran (telur). Buatlah apa yang perlu dengan beri insentif sokongan atau apa yang mampu untuk membolehkan mereka mengeluarkan hasil dalam pasaran tempatan, itu rasanya lagi efektif,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut seorang lagi peniaga, M. Daud Hassan, 60, ini merupakan kali pertama isu bekalan telur berlarutan sehingga berbulan-bulan.
Katanya lagi, bekalan telur di kedainya akan dihantar oleh pembekal setiap hari namun dalam jumlah yang sangat terhad kerana diberitahu bekalan bahan mentah itu terpaksa dicatut untuk dibahagikan kepada peniaga lain.
“Sekarang dia (pembekal) akan hantar hanya 50 ke 60 papan telur (sekitar 1,500 biji) sahaja sehari. Kalau sebelum ni kita boleh dapat dalam 500 ke 600 papan sehari dari pembekal," katanya yang mengakui agak pelik dengan situasi krisis bekalan telur yang berlaku ketika ini.
Dalam pada itu, Astro AWANI mendekati sebuah syarikat pemborong telur yang terkenal dan agak besar tidak beberapa jauh dari kawasan itu, serta dikatakan tidak pernah putus bekalan telur sebelum ini.
Ternyata jumlah telur yang dijual ketika kami tiba boleh dikatakan masih banyak untuk ditawarkan kepada pembeli.
Bagaimanapun ketika diteliti, hanya terdapat telur berkualiti tinggi dari jenis Omega dan telur ayam kampung yang tinggal, memandangkan telur dari gred yang lebih murah telah habis dijual.
Kedua-dua telur dari jenis tersebut dijual pada harga RM17.40 dan RM16.80 sepapan.
Menurut pekerja syarikat tersebut, telur dari gred AA hingga gred D yang dijual pada harga lebih murah iaitu RM12.00 hingga RM15.90 ketika ini akan habis terjual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.
Katanya, kesemua bekalan telur itu biasanya sentiasa dinanti oleh pelanggan setia mereka dari kalangan peniaga kecil yang lebih awal menunggu selain jumlah kuantiti telur yang dihantar pembekal dari jenis itu sangat terhad.
Selain itu, menurutnya, bekalan telur semakin sukar ketika hujung minggu atau hari cuti disebabkan pelbagai masalah, termasuk masalah pengangkutan.
“Sekarang paling banyak boleh dapat bekalan telur gred biasa sekitar 2,200 papan.. itu kira maksimumlah. Itu bagi hari Isnin hingga Jumaat sebab Sabtu atau Ahad ikut kesanggupan pengangkutan atau pemandu lori (pembekal) untuk hantar atau tidak," kata Azreen Murhalim, 21, yang telah beberapa tahun bekerja di syarikat tersebut.
Dia juga mengakui, sepanjang pengalaman bekerja di situ, sedikit sebanyak selok-belok industri bekalan telur diketahuinya, namun keadaan yang dialami ketika ini terlalu janggal.
Dia juga tidak menolak kemungkinan ada pengusaha dan pembekal yang memilih untuk membeklkan telur ke pasaran luar.
#telur #pengusaha #pembekal #pengguna #kerajaan #pasaran luar
;