Isu bekalan beras SST: Kerajaan bincang dengan pengilang - Mohamad Sabu

Bernama
Ogos 28, 2023 19:02 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika bertemu para pengamal media ketika hadir pada Program Santai Peladang, di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
MUAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras telah mengadakan pertemuan dengan pengilang beras pada Sabtu lepas, bagi membincangkan isu berkaitan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) di pasaran.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini bekalan beras import yang lebih tinggi harganya adalah mencukupi, namun bagi beras SST, ia perlu diselaraskan lagi bekalannya.
Mengulas dakwaan yang mengatakan terdapat sesetengah peniaga yang berleluasa menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import, Mohamad berkata buat masa ini pihaknya belum mendapat laporan khusus berkaitan perkara itu.
"Berleluasa itu cakap umum tapi tak ada laporan khas, kalau ada kita akan bertindak dengan pantas dan anggota penguat kuasa bergerak cergas memastikan supaya tidak berlaku perubahan kampit dan sebagainya," kata beliau.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Program Santai Peladang Zon Selatan 2023 di sini hari ini, yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob, Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin.
Beras SST ialah beras tempatan yang memiliki gred beras hancur sebanyak lima peratus serta dikawal kerajaan iaitu RM13 (5kg) dan RM26 (RM10 kg) manakala SSI (Super Spesial Import) yang diimport, harganya lebih mahal dan tidak dikawal kerajaan.
-- BERNAMA
#isu bekalan beras SST #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Mohamad Sabu #Super Spesial Tempatan
;