Isu bekalan beras negara dibincangkan dalam NACCOL Jumaat ini - Amrizan

Bernama
Februari 18, 2024 15:15 MYT
Menurut Armizan, satu daripada perkara yang diangkat untuk pertimbangan pada mesyuarat khas NACCOL itu adalah berkaitan bekalan beras negara. - Gambar fail/Bernama
PAPAR: Satu Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan isu kos sara hidup terutamanya bekalan beras di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya selaku urusetia NACCOL telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa satu daripada perkara diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara.
"Sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kuasa kawal selia padi dan beras termasuk berkaitan hala tuju bekalan dan harga terletak di bawah KPKM.
"Sebarang perubahan yang melibatkan dasar dan program kerajaan terkait dengan industri padi dan beras adalah di bawah tanggungjawab Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sejajar dengan perintah yang dikeluarkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Majlis Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri Kawang di sini hari ini, yang melibatkan 260 peserta dan lapan masjid.
Armizan berkata sebarang pengumuman rasmi berkaitan beras negera akan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu atau wakil dipertanggungjawabkan selepas keputusan dibuat NACCOL, dan kemudian dibawa kepada Jemaah Menteri sekiranya keputusan itu besar serta melibatkan implikasi kewangan.
Pada masa sama, beliau berkata dengan kerjasama Kementerian Ekonomi iaitu melalui Jabatan Perangkaan, pihaknya juga akan mengangkat mengenai pertimbangan mewujudkan indikator kos sara hidup pada mesyuarat berkenaan.
"Jika tidak sempat dibincangkan pada mesyuarat Jumaat ini kita akan bawa pada mesyuarat NACCOL Mac nanti. Kita ada indeks harga pengguna tetapi sekiranya ada indikator kos sara hidup ini, kita akan dapat membuat penilaian yang lebih menyeluruh termasuk dalam konteks pengagihan bantuan kepada rakyat.
"Kita tahu setiap daerah atau wilayah, kos sara hidup adalah berbeza...harga barang termasuk kos logistik berbeza. Oleh itu kita perlu wujudkan indikator berkenaan, namun untuk mewujudkan indikator itu kita perlu melibatkan dasar kerana kita perlu melihat apa komponen yang akan dimasukkan dalam indakator berkenaan," tambahnya.
Mengenai kos sara hidup yang semakin membebankan, Armizan berkata masalah berkenaan merupakan isu yang dihadapi oleh seluruh negara di dunia.
"Peningkatan kos sara hidup ini bukan sahaja berlaku di Malaysia dan kalau lihat laporan Forum Ekonomi Dunia yang baru dikeluarkan pada 2024 dan 10 tahun mendatang, antara satu isu cabaran global adalah kos sara hidup, jadi ia bukan isu yang unik untuk Malaysia tetapi dihadapi seluruh dunia," katanya.
-- BERNAMA
#Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara #Anwar Ibrahim #Armizan Mohd Ali #Peningkatan kos sara hidup #NACCOL
;