Isu bekalan air Kelantan ada harapan untuk diselesaikan - Nik Abduh
Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2020 09:33 MYT
Jun 1, 2020 09:33 MYT
Selepas berlarutan selama 30 tahun, kini harapan untuk rakyat melihat masalah bekalan air di Kelantan diselesaikan, semakin bersinar.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Nik Mohamad Abduh Nik Aziz percaya, kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat dan negeri dapat menyelesaikan isu itu.
"Sebenarnya masalah air di Kelantan, rakyat sudah faham bahawa isu ini amat menyeluruh dan memerlukan jumlah yang besar untuk menyelesaikannya... membabitkan kos berbilion ringgit.
"Jadi kerajaan negeri tak mampu kecuali dengan pertolongan Kerajaan Pusat. Saya yakin apabila parti PAS-UMNO sudah berada dalam kerajaan, sampai masanya untuk kita fikir bersama isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu air yang dibangkitkan rakyat Kelantan yang mengadu tidak mendapat bekalan air harian dengan sempurna.
Nik Mohamad Abduh mengakui ketika kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) terdapat usaha untuk menaik taraf kemudahan itu, namun tidak kesampaian disebabkan jatuh selepas 22 bulan mentadbir negara.
Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, semasa zaman pemerintahan bapanya, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masalah air di Kelantan juga tidak pernah selesai.
Katanya, mereka terpaksa menggunakan telaga untuk mendapatkan bekalan air bersih di kediaman itu.
#Kelantan
#masalah bekalan air
#nik abduh
#PH
#PN
#rakyat kelantan
#sampai masa bekerjasama
#selesai isu air
#UMNO