Isu 'begpackers': Kalau tak cukup duit, anda tak sepatutnya pergi melancong!
Afiq Ariffin
Februari 6, 2019 19:46 MYT
Februari 6, 2019 19:46 MYT
Isu pelancong dari negara Barat yang kini menyasarkan aktiviti merayu sumbangan di negara-negara Asia termasuk Malaysia bukan saja mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan.
Hasil tinjauan yang dibuat oleh wartawan Astro AWANI, terdapat beberapa pelancong asing turut menyuarakan pandangan mereka berhubung tindakan golongan 'begpackers' itu.
'Begpackers' adalah istilah yang merujuk kepada golongan pelancong asing, yang meminta derma atau sumbangan (begging) daripada orang ramai untuk menampung kos perjalanan mereka.
Menurut pelancong yang berasal dari Turki yang dikenali sebagai Batuhan, walaupun tindakannya itu menyalahi undang-undang, namun ia membantu beliau untuk menambah wang perbelanjaan dan mengenali masyarakat tempatan secara dekat.
“Kebanyakan orang tempatan tidak kisah mengenainya, tetapi pihak polis dan DBKL ada membangkitkan isu ini. Saya rasa ia tiada masalah kerana kami berjumpa dan mengenali orang ramai secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit masalah daripada pihak berkuasa,” ujarnya yang menjual gelang tangan di kaki lima sekitar Jalan Bukit Bintang.
Namun, bagi pelancong dari Kanada, Amerika Syarikat dan Syria, mereka menegaskan bahawa perkara tersebut tidak adil dan tidak sepatutnya dilakukan ketika sedang melancong.
“Saya rasa ia bergantung dengan keadaan orang itu sendiri. Kita tidak tahu latarbelakang mereka atau sebagainya tapi jika mereka meminta sumbangan dari warga tempatan, saya rasa tidak patut dan tidak adil,” kata pelancong bernama Gen yang berasal dari Kanada.
Malah, pelancong yang berasal dari Amerika Syarikat, Mario pula berpendapat jika mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk melancong, maka mereka perlu melupakan hasrat untuk melancong.
“Jika anda tidak mempunyai wang yang cukup, maka anda tidak sepatutnya melancong kerana saya percaya kebanyakan orang yang meminta sedekah ialah orang yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan ia tidak seharusnya berlaku,” tegasnya.
Manakala pelancong dari Syria yang dikenali sebagai Sam pula berpendapat tujuan pelancong datang ke negara lain adalah untuk melancong dan bukannya menjual atau membuat persembahan bagi mengumpul wang.
“Tidak, saya rasa ianya tidak patut berlaku. Ia bukan idea yang bagus kerana pelancong datang untuk melihat negara yang dikunjungi bukannya berniaga. Itu pandangan saya,” ujar Sam.
Mereka ditanya mengenai tindakan sepasang suami isteri warganegara Rusia yang ditahan polis selepas klip video seorang lelaki melambung dan menghayun bayi berusia empat bulan dalam persembahan jalanan di ibu negara baru-baru ini tular di media sosial.
Pasangan itu dikatakan melakukan aktiviti sedemikian bagi menampung perbelanjaan pelancongan mereka.
#Astro Awani
#Bukit Bintang
#DBKL
#media sosial
#Pelancong asing
#pelancongan
#tinjauan
#undang-undang