Isu beg plastik: KPDNKK perlu segera bincang dengan peniaga - Armand

Astro Awani
Januari 17, 2017 19:42 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil pendekatan bijak dan berbincang dengan pemilik pasar raya besar dalam menyelesaikan isu beg plastik.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, beg plastik seharusnya diberikan percuma berbanding memperuntukkan bayaran 20 sen untuk satu beg plastik hari ini.
"Saya mohon pihak KPDNKK mengambil pendekatan dengan berbincang dengan pasar raya ini dalam mencari jalan penyelesaian bagi kepentingan rakyat.
"Saya berpendapat Kerajaan Pusat harus menekan pasar raya ini untuk membekalkan beg alternatif kepada penguna secara percuma agar ia tidak membebankan rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Galakkan guna beg mesra alam, bukan suruh rakyat beli plastik - Noh Omar
BACA: Selangor bebas beg plastik dan polistirena mulai 2017
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong dilapor berkata bayaran 20 sen bagi penggunaan beg plastik itu adalah selaras dengan 'Kempen Selangor Bebas Plastik' yang berkuat kuasa 1 Januari lepas.
Dalam pada itu jelas Armand, isu pembelian beg plastik itu dilihat hanya memguntungkan pasar raya besar dan peniaga.
"Jika kita lihat sejak ianya dilaksanakan pelbagai rintihan dan laporan telah dibuat oleh penguna kepada KPDNKK mengenai isu ini. Saya berharap pihak KPDNKK mengambil serius isu ini demi kepentingan rakyat daripada kepentingan pasar raya ini.
"Saya juga ingin tahu di mana Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan persatuan penguna lain dalam isu ini yang dilihat berpeluk tubuh dan tidak bersuara memperjuangkan hak rakyat ini.
"Dalam isu ini saya lihat, pasar raya besar mengambil kesempatan terhadap penguna yang sepatutnya mereka ini menjaga kepentingan penguna. Bukankah lebih baik ia diberikan secara percuma sebagai sebahagian daripada tanggungjawab program tanggungjawab sosial korporat (CSR)?" soalnya.
Armand juga menegaskan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu segera menjelaskan rasional 'menekan' rakyat dengan memberikan keuntungan kepada syarikat dan peniaga.
"Persoalan saya kemana pergi 20 sen ini? Sepatutnya cari penyelesaian isu ini jika ia bersangkutan dengan isu alam sekitar, bukannya menekan rakyat.
"Jika Kerajaan Selangor masih mengatakan ianya adalah pendekatan terhadap alam sekitar, berikan cadangan penyelesaian isu ini atau alternatif bagi mengurangkan bebanan rakyat bukan menekan rakyat," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pengharaman penggunaan beg plastik di Selangor yang berkuat kuasa 1 Januari lepas dilihat tidak membantu matlamat mewujudkan persekitaran yang bersih .
#Datuk Armand Azha Abu Hanifah #Elizabeth Wong #Fomca #KPDNKK
;