Isu beg berat: KPM pasang lokar mulai hujung bulan ini - Radzi
Astro Awani
September 5, 2022 16:09 MYT
September 5, 2022 16:09 MYT
PUTRAJAYA: Proses pemasangan lokar di sekolah-sekolah rendah terlibat seluruh negara dijangka dimulakan pada akhir bulan ini bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid-murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, fasa pertama pemasangan lokar tersebut akan membabitkan sekolah yang mempunyai dua sesi, dengan melibatkan pelajar Tahun 1 dan 2 terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Radzi berkata jumlah sekolah terlibat dengan pemasangan lokar itu akan diumumkan kelak.
"Untuk lokar bagi fasa satu ini kita akan laksanakan untuk sekolah yang dua sesi, untuk murid Tahap Satu. Tetapi fasa ini kita buat untuk murid tahun satu dan tahun dua (dulu).
"InsyaAllah kita akan mula pasang lokar-lokar di sekolah pada penghujung bulan. Jadi pada bulan Oktober, kita cuba ikhtiarkan semua perolehan itu telah sampai ke sekolah, dan semuanya dipasang," katanya selepas Majlis Libat Urus Bersama Editor Kanan di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan untuk menyediakan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah terlibat dalam usaha menangani isu beg berat dihadapi murid.
Pelaksanaannya bakal melibatkan seramai 323,186 murid dengan peruntukan bagi Fasa 1 dijadualkan bermula 2022 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.
Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.
#beg sekolah berat
#KPM pasang lokar di sekolah
#Fasa satu pemasangan lokar
#Radzi Jidin lokar sekolah