Isu bauksit: SPRM sedia tambah anggota pengiring bersenjata
Rahimah Abdullah
Januari 21, 2016 16:53 MYT
Januari 21, 2016 16:53 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menambah jumlah anggota pengiring keselamatan semasa melakukan siasatan rasuah melibatkan kes bauksit.
Pengarah Bahagian Keselamatannya, Alias Salim bagaimanapun berkata, keperluan itu bergantung kepada tahap ancaman yang mungkin diterima pegawai penyiasat semasa melakukan tugas siasatan.
"Kita tengok tahap ancaman itu, jika berlaku sesuatu ancaman atau risiko, kita akan menambah pegawai-pegawai pengiring untuk memastikan tugas-tugas kita berjalan lancar.
"Jumlah pengiring keselamatan (kes bauksit) bergantung kepada keadaan. Mungkin dalam 10 orang yang membantu pegawai-pegawai penyiasat. Mereka sentiasa membawa senjata api untuk memastikan operasi ini terkawal dan selamat," katanya dalam sidang media selepas Program Breakfast Talk bertajuk "Dasar Keselamatan dan Kebajikan Pegawai Penguatkuasa Semasa Menjalankan Tugas" di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di sini hari ini.
Bagaimanapun setakat ini, suruhanjaya itu belum menerima sebarang ancaman sepanjang melakukan siasatan kes bauksit.
"Sebelum ini kita ada Ops Lojing di Kelantan itu sahaja kita pernah terima iaitu ancaman daripada pembalak haram yang tidak begitu bersetuju terhadap operasi yang dijalankan, namun Alhamdulillah keadaan ini terkawal dengan adanya pasukan pengiring keselamatan yang kita telah bekalkan bersama mereka bagi membantu pegawai penyiasat kita semasa menjalankan operasi," ujar beliau.
Justeru katanya, SPRM akan memastikan sebarang kesulitan dan gangguan akan dapat diatasi bagi melancarkan proses siasatan.
"Dari sudut aspek keselamatannya, memang sentiasa memberi keutamaan dengan memastikan operasi yang dijalankan berjaya dan semua pegawai kita berada dalam tahap keselamatan yang terbaik supaya segala tugas mereka lakukan berjalan lancar dan tidak terganggu dan diganggu oleh mana-mana pihak yang berkepentingan," tambah beliau.
SPRM ketika ini giat melakukan siasatan kes rasuah dalam isu bauksit termasuk memburu 'jerung' yang terlibat dengan isu kontroversi itu.