Isu bauksit: Penduduk mahu jaminan pencemaran tidak berulang
Tan Su Lin
Mac 12, 2016 19:39 MYT
Mac 12, 2016 19:39 MYT
DUA bulan telah berlalu, kehidupan peniaga dan penduduk di kawasan perumahan di Balok Makmur kini cukup berbeza.
Apatah lagi, perlombongan bauksit di negeri itu telah memberi impak yang besar terutamanya terhadap peniaga kecil di kawasan itu.
Bagi Abdul Raef Haji Baki, 44, cukup sukar untuknya menjalankan perniagaan air jambu ekoran pencemaran debu yang teruk.
"Setiap setengah jam atau 40 minit mesti kena lap seluruh gerai kerana kalau tidak akan kotor. Kita juga terpaksa menggunakan tuala basah untuk mengelakkan habuk daripada memasuki bekas-bekas air."
Beliau mengakui sewaktu perlombongan bauksit beroperasi perniagaan penjaja di sekitar kawasan itu terjejas.
“Itu memang tidak dinafikan. Orang pun kurang untuk membeli terutamanya selepas mereka melihat persekitaran berdebu dengan atap kuning. Jadi sejak dua bulan kebelakangan ini sejak aktiviti bauksit dihentikan sementara, suasana kembali ceria. Sepatutnya macam itulah. Kalau boleh jangan ada bauksit masuk sini lagi," katanya.
Terletak berhampiran kawasan pelabuhan, jalan menuju ke Balok Makmur merupakan salah satu laluan lori yang membawa bauksit.
Rata-rata penduduk tidak lagi mahu lori mengangkut bauksit menggunakan laluan berhampiran kawasan perumahan mereka dan mendesak agar pihak berkuasa mengkaji alternatif lain untuk mengangkut bahan mineral berkenaan.
Bagi Abdullah Abdul Hamid, 52, dia mengakui merasa khuatir akan risiko keselamatan penduduk setempat sekiranya lori-lori bauksit terus menggunakan laluan itu setelah tamat moratorium nanti.
Kami tidak menghalang aktiviti perlombongan bauksit tetapi tolong lah kami tidak lagi mahu keadaan seperti dahulu," demikian keluhan seorang peniaga sewaktu beliau mengimbau situasi di Balok Makmur sebelum moratorium bauksit bermula sejak 15 Januari.
"Dalam dua bulan lepas dengan keadaan sekarang, sekarang sudah aman. Kalau nak buat jadi dulu (dua bulan lepas) memang kami tidak mahu. Kalau hendak jalan juga kena cari alternatif lain, jangan jalan kawasan perumahan.
“Yang pertama kita tidak suka berdebu, keduanya, ia bahaya kepada keselamatan jalan raya dan juga kesihatan kita.
"Kalau boleh, bauksit itu dimasukkan ke dalam kontena. Lori-lori juga patut ditetapkan had laju. Pengkuatkuasa kena ramai sikit, kalau laju saman terus.
"Jangan bagi laju-laju sangat kalau boleh bagi alternatif bagi jalan berlainan. Jangan bagi jalan-jalan yang kita lalu ini sebab itu jalan yang budak-budak hendak ke sekolah dan penduduk hendak ke mana-mana," tambahnya lagi.
GALERI FOTO: Isu bauksit: Moratorium tidak menenangkan penduduk
Bagaimanapun, penduduk mengakui tidak dapat menghalang aktiviti bauksit, namun mereka mahukan pengurusan pengangkutan bauksit ditambah baik supaya tiada lagi pencemaran pada masa depan.
"Kita nak berhentikan terus mungkin tidak boleh, cuma kita mengharapkan pihak kerajaan membuat sesuatu dari segi pengangkutan yang betul-betul berkesan, (lori bauksit) ditutup dengan cara baik supaya debu-debu bauksit tidak berterbangan," kata Abdul Raef.
Astro AWANI difahamkan stesen minyak di laluan utama ke Balok Makmur merupakan salah satu hentian lori-lori bauksit untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan atau sebaliknya.
Hasil pemerhatian kami mendapati jarak stesen minyak itu terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan.
Buat masa ini penduduk dapat menghela nafas lega susulan pemberhentian sementara aktiviti bauksit oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas dipersetujui Kabinet pada 6 Januari lalu.
Namun, di benak fikiran masih ada kebimbangan tentang nasib mereka sekiranya pencemaran sebelum ini berulang lagi.
Apa jaminan pihak berkuatkuasa nasib mereka akan terbela.
#Moratorium
#Peniaga Balok Makmur di Kuantan mengakui kehidupan mereka cukup berbeza selepas perlombongan bauksit di negeri itu