Isu bauksit: Moratorium tidak menenangkan penduduk

Tan Su Lin
Mac 11, 2016 08:31 MYT
Biarpun aktiviti perlombongan bauksit dihentikan sementara, namun masalah itu tetap menghantui penduduk seperti Che Long Che Ali. -Foto Astro AWANI
Empat tahun lalu, Che Long Che Ali, 63 tahun, meninggalkan bandar Kuantan untuk berpindah ke kawasan perkampungan di Beserah untuk bersara.
Tidak disangkanya, keputusan untuk meninggalkan kesibukan bandar untuk menikmati kehidupan lebih tenang dan berudara segar itu kini hanya tinggal impian berikutan sebelah kawasan rumahnya adalah lombong bauksit yang habis digondol untuk mineral itu.
"Dulu sebelum moratorium, setiap hari sekurang-kurangnya 30 buah lori akan lalu depan rumah saya sebab jalan kampong ini laluan alternatif.
"Setiap hari, pagi hingga petang, lori seberat 40 ke 50 tan akan lalu depan rumah mengakibatkan bunyi bising dan debu merah semua berterbangan," katanya sambil melihat tanaman di kebunnya yang sudah berbulan tidak berbuah.
Biarpun aktiviti perlombongan bauksit dihentikan sementara, namun bagi Che Long dan penduduk khususnya yang tinggal berhampiran kawasan perlombongan, mereka masih berdepan risiko keselamatan.
"Sekarang lombong bauksit ini hanya dibiarkan begitu sahaja. Tiada aktiviti perlombongan tetapi lombong terbiar dan angin kuat menyebabkan debu bauksit berterbangan. Ini masih musim panas, kalau hujan, pastinya ia akan mengakibatkan banjir lumpur," katanya.
ALBUM FOTO - Isu bauksit: Moratorium tidak menenangkan penduduk
Bagi Wan Rahim Wan Abdul Rahman yang telah menetap di Beserah sejak 30 tahun lalu khuatir akan keselamatan keluarganya ekoran lombong bauksit belakang rumahnya itu.
"Saya memang duduk Beserah lama dah, dulu memang selamat tetapi apabila bukit di belakang rumah dilombong untuk bauksit, saya bimbang kalau berlaku banjir, habis lumpur bauksit akan turun ke kawasan rumah saya.
"Lagipun dulu masa banjir besar Kuantan pada 2014, rumah saya ditenggelami air lebih kurang 5 hingga 6 kaki. Jadi macam mana saya nak duduk kat sini? Kalau banjir lagi, habis musnah. Jadi penduduk pun ketakutan nak duduk kat sini," katanya.
Tinjauan kami mendapati kawasan perumahan paling hampir dengan lombong bauksit berjarak kurang 100 meter.
Lombong bauksit lazimnya terletak di kawasan berbukit sekali gus menimbulkan risiko hakisan tanah sekiranya kawasan perumahan terletak di kaki bukit berkenaan.
Dua bulan selepas moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit dikeluarkan, kini Che Long berharap tidak lagi diganggu pencemaran udara dan bunyi akibat perlombongan bauksit.
"Saya sudah 10 tahun tidak merokok... tetapi selepas kes bauksit ini, sebab terlalu stres, saya telah kembali hisap rokok," katanya sambil merenung jauh mengenangkan nasibnya.
#banjir besar #bauksit #beserah #Che Long Che Ali #Kuantan #Moratorium
;