Isu batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary: Guan Eng tuntut Muhyiddin mohon maaf
Bernama
Mac 21, 2023 17:50 MYT
Mac 21, 2023 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya berhubung pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.
Tuntutan itu dibuat Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang turut menggesa Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu menarik balik kenyataannya secara serta-merta selain memberi masa sehingga hari ini untuk bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian.
Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas Muhyiddin sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu enggan memenuhi permintaan itu.
"Harap beliau menarik balik dan mohon maaf supaya perkara ini boleh diselesaikan. Kalau tidak saya akan buat tindakan seterusnya," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim ketika menjadi Menteri Kewangan tidak pernah membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti yang didakwa.
Anwar berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Feb 2021.
Perdana menteri berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan terletak di bawah kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.
-- BERNAMA