Isu bantuan ibu Diwiyana selesai, tiada isu berbangkit - Exco
Aida Aziz
Februari 28, 2022 17:52 MYT
Februari 28, 2022 17:52 MYT
IPOH: Isu bantuan kepada ibu Diwiyana Mohammed seperti yang tular di media sosial sebelum ini dianggap sudah selesai dan tiada isu berbangkit.
Bagaimanapun, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menasihati semua pihak untuk tidak hanya mendengar penjelasan sebelah pihak berhubung isu itu.
"Mungkin dia (Diwiyana) dalam video itu (TikTok) tidak ceritakan sepenuhnya, tetapi apa yang pasti adalah memang keluarga itu layak menerima bantuan apabila kita melakukan siasatan.
"Malah, proses bantuan terhadap dia juga sudah berjalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Baitulmal yang mendakwa wanita itu sudah memperolehi pelbagai bantuan lebih RM15,000 daripada kedua-dua agensi itu sejak 2013.
Dr Wan Norashikin ditemui pemberita selepas sidang media perasmian program dana perubatan Sinar untuk pembedahan katarak dengan kerjasama Hospital Ar-Ridzuan Ipoh di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan Sdn Bhd, Zulkifly Zakaria.
Ujarnya lagi, hasil siasatan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mendapati Diwiyana sememangnya layak menerima bantuan terbabit.
Dalam pada itu, Dr Wan Norashikin berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar memastikan kesahihan setiap berita, sebelum disebarkan.
"Cuma satu saya nak pesan, siapa juga yang baca untuk pastikan benda itu sahih atau tidak, barulah sebarkan.
"Bukan sahaja untuk yang membuat kandungan berita tetapi juga sebagai pembaca perlu bertanggungjawab.
"Apabila kita menerima maklumat sama ada daripada WhatsApp, Twitter, Facebook atau TikTok pastikan (ia) benar, baru ambil tindakan seterusnya sama ada 'forward' atau nak komen," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, JKM sudah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas terlantar, Selamah Hamid, 73, bermula bulan depan.
Wan Norashikin dilaporkan berkata, bantuan itu akan diberikan kepada anaknya, Diwiyana Mohammed, 37, bagi pihak wanita warga emas berkenaan.
Sejak minggu lepas, tular sebuah video menerusi akaun TikTok @dyanamohammed3 yang memaparkan kekecewaan Diwiyana terhadap JKM Negeri Perak dan Lembaga Zakat Perak kerana mendakwa hampir dua tahun berusaha mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar sakit namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.
#isu bantuan
#Diwiyana Mohammed
#Tular
#Dr Wan Norashikin Wan Noordin
#JKM Perak
#TikTok
#Selamah Hamid
#dyanamohammed3
#Lembaga Zakat Perak