Isu Balai Undang Johol: Kerajaan Negeri Sembilan potong bekalan air, elektrik
Bernama
April 6, 2017 17:07 MYT
April 6, 2017 17:07 MYT
Kerajaan Negeri Sembilan bertindak memotong bekalan air dan elektrik di Balai Undang Luak Johol, yang merupakan kediaman rasmi Undang Luak Johol, setelah bekas undang luak itu Datuk Mohd Jan Abdul Ghani enggan berpindah keluar.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak berkuasa turut diarah berkawal di luar bangunan berkenaan.
"Saya merasa kesal kerana kerajaan negeri terpaksa berbuat sampai ke tahap begini...ia tidak sepatutnya berlaku begitu. Saya harap mereka (keluarga bekas Undang Luak) faham.
"Apa yang mereka buat itu seolah-olah menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana Balai Undang Luak Johol adalah bangunan kerajaan," katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya perbuatan menduduki bangunan kerajaan secara tidak sah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman mengikut kanun jenayah.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan notis pindah keluar dari Balai Undang Luak Johol kepada Mohd Jan, yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.
Tempatnya digantikan dengan Datuk Muhammad Abdullah yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol).
Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Okt tahun lepas dan beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol pada 15 Dis lepas.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) supaya memindahkan bahagian operasi ibu pejabatnya ke satu tempat di luar bandar ini.
Katanya MPS telah pun membeli sebuah bangunan baharu untuk tujuan tersebut.
"Bangunan baharu ini terletak di tepi jalan besar dan mempunyai lebih 800 petak parkir. Ini akan memberikan kemudahan kepada kakitangan MPS serta orang ramai untuk menjalankan urusan harian mereka.
"Sudah sampai masanya MPS berpindah ke pejabat mereka yang baharu untuk memudahkan orang ramai berurusan dan memberikan keselesaan. Langkah ini juga mengambil kira percantuman MPS dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN)," katanya.
Berikutan itu, katanya cadangan membangunkan semula Dewan MPS telah dibatalkan dan bangunan MPS sedia ada termasuk Dewan MPS akan dikekalkan.
Bangunan MPS sedia ada adalah bangunan pertama MPS dan akan dijadikan sebahagian daripada Galeri Ketamadunan Islam dan Pusat Sumber Islam untuk menarik pelancong.
"Bangunan MPS sedia ada ini boleh dijadikan bilik pameran memandangkan sejarah MPS menjangkau 120 tahun. Kita patut menyelenggara dan mengurus bangunan-bangunan lama dengan baik," katanya.
-- BERNAMA