ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) memaklumkan kelewatan baja padi yang dihantar kepada petani adalah berpunca daripada isu kelewatan bekalan bahan mentah.

Cawangan Komunikasi Korporat Mada dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun isu bahan mentah telah diselesaikan bagi membolehkan penghasilan baja padi diteruskan.

Menurutnya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memaklumkan telah mengambil langkah meningkatkan kadar pengeluaran baja dengan keupayaan pemprosesan di kilang sebanyak 1,000 tan metrik sehari bagi membolehkan peladang mendapatkan bekalan baja untuk memenuhi keperluan mereka.

"Nafas dengan segera akan membekalkan stok NPK Sebatian, Baja Urea sebelum 15 Jun dan stok baja NPK Tambahan sebelum 30 Jun ini.

"Pemantauan penghantaran baja kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada akan dipantau oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Beras (IPB) dan Mada secara harian agar isu kelewatan baja akan dapat segera diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pembekal bagi Program Skim Baja Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk penanam-penanam padi di seluruh Malaysia.

"Dianggarkan keperluan baja di Kawasan Muda adalah sebanyak 1,097,396 beg bagi baja NPK Sebatian, Baja Urea adalah sebanyak 410,910 beg dan dan baja NPK Tambahan adalah sebanyak 609,349 beg," ujarnya.

Jelas Cawangan Komunikasi Korporat Mada lagi, sesi mesyuarat penyelarasan membincangkan isu kelewatan pembekalan dan penghantaran baja di bawah SBPKP dan SIPP telah diadakan pada 1 Jun lalu bertempat di Pertubuhan Peladang Kawasan H-II, Kepala Batas melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi Dan Beras MAFI, Nafas, Mada dan Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah dan Perlis.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan 80 petani dari Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, dekat sini bimbang tanaman padi diusahakan mereka bakal terjejas berikutan bekalan baja dari bagi tujuan pertanian tersebut masih belum diterima sehingga hari ini.

Menurut mereka, benih padi sudah pun ditabur di kawasan padi seluas 20 hektar pada April lalu namun baja yang diperlukan untuk penanaman padi masih belum diperolehi.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.