Isu bagasi: Operasi penerbangan di KLIA kembali lancar - MAHB

Harits Asyraf Hasnan
Mac 18, 2017 08:45 MYT
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali seperti biasa hari ini. - Gambar fail
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kembali beroperasi seperti biasa hari ini.
Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang mengesahkan perkara tersebut memaklumkan isu kekurangan tenaga kerja oleh vendor syarikat pengurusan bagasi telah ditangani.
"Sehingga tengah malam tadi, tiada lagi penerbangan yang ditangguhkan. Secara keseluruhan, 48 penerbangan ditangguhkan sejak semalam.
"Kami telah dimaklumkan oleh AeroDarat Services - syarikat pengendali operasi darat oleh beberapa syarikat penerbangan di KLIA - bahawa vendor mereka telah pun menangani isu kekurangan tenaga kerja," memetik kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
MESTI BACA: Pengurusan bagasi 'mogok', lebih 50 penerbangan di KLIA ditunda
Semalam, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali memaklumkan 50 penerbangan di KLIA terpaksa ditunda akibat kegagalan sebuah syarikat penerbangan menguruskan sistem keluar masuk bagasi sejak 7.30 pagi.
Malah, pihaknya turut menerima laporan awal memaklumkan ada antara bagasi penumpang yang tidak sampai ke destinasi.
#KLIA #MAHB #mogok #pengurusan #sistem bagasi