Isu Azam Baki: Kegagalan beri penjelasan menyeluruh hakis kepercayaan terhadap SPRM - IDEAS

Nickyson Nyambar
Januari 5, 2022 22:50 MYT
IDEAS berpendapat kenyataan tersebut tidak sepenuhnya menangani kebimbangan masyarakat awam mengenai integriti SPRM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendesak proses yang sewajarnya diambil mengenai isu yang menyentuh integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh penjelasan menyeluruh amat penting berhubung isu membabitkan dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Katanya, ini bagi memastikan kredibiliti SPRM sebagai sebuah institusi bebas yang berperanan membasmi rasuah dalam negara terjaga.
Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar yang memberitahu tidak menerima surat daripada bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Prof Edmund Terence Gomez berhubung isu dakwaan pemilikan saham Azam, selain menyatakan berpuas hati dengan penjelasan Azam.
"Pada pandangan kami, kenyataan tersebut tidak sepenuhnya menangani kebimbangan masyarakat awam mengenai integriti SPRM.
"Kenyataan yang diberikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang ini merujuk kepada dakwaan terdahulu oleh Prof Edmund Terence Gomez mengenai perihal integriti LPPR, khususnya dakwaan yang merisaukan tentang 'hubungan antara perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang' dan situasi 'konflik kepentingan' antara Tan Sri Azam Baki dan dakwaan pemilikan saham korporatnya.
"Walaupun IDEAS mengalu-alukan LPPR, namun memberikan respons susulan seruan awam untuk mengambil tindakan, dengan mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November 2021 (bersama Tan Sri Azam Baki), kami bimbang apabila keputusan untuk membebaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah berdasarkan kepada satu mesyuarat sahaja, tanpa penyiasatan menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
SPRM | LPPR puas hati penjelasan Azam Baki
BACA: Putra pertikai sidang media bersih nama Azam Baki, mahu kerajaan tubuh jawatankuasa bebas
Ujar beliau lagi, LPPR tidak menjalankan tugas dengan baik sekiranya membuat kesimpulan hanya berdasarkan penjelasan oleh Azam semata-mata.
"Kami juga kesal dengan kelewatan LPPR dalam mengumumkan keputusan mesyuarat tersebut kepada masyarakat awam (yang sepatutnya diumumkan) sejurus selepas mesyuarat berlangsung.
"Jika LPPR mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas tersebut berbanding menunggu lebih dari sebulan, keluh kesah rakyat berkenaan hal ini akan dapat dielakkan," tambahnya lagi.
SPRM | Azam Baki nafi miliki saham dengan jumlah melampau
Sehubungan itu, katanya IDEAS menyeru supaya LPPR memberikan penjelasan telus terhadap kesimpulan yang dibuat.
Malah katanya, amat penting buat badan itu mendedahkan dasar atau kaedah yang diguna pakai dalam membersihkan nama Azam daripada sebarang kesalahan.
"Lebih penting lagi, LPPR perlu menjelaskan kepada masyarakat awam sama ada Tan Sri Azam Baki telah memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan kepada pekeliling kerajaan bertajuk ‘Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)’ yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, IDEAS berpandangan penjelasan berkenaan perkara ini amat penting dalam mengekalkan kredibiliti SPRM dalam perihal membasmi rasuah.
Jelasnya, amat penting buat Parlimen menilai dan membahas prestasi SPRM dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, katanya ini adalah waktu untuk badan luar yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM untuk memainkan peranan mereka.
"Badan-badan tersebut ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, dan juga Panel Penilaian Operasi.
"IDEAS merasakan bahawa ini merupakan peluang kepada badan-badan tersebut untuk membuktikan mereka sedang melakukan sehabis baik dalam memberikan mekanisme semak dan imbang kepada SPRM," katanya.
#Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi #ideas #SPRM #Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki
;