Isu Azam Baki: Harus dilunas ikut fakta bukan prasangka atau prejudis - Rais Yatim

Nickyson Nyambar
Januari 14, 2022 21:21 MYT
Menurut Rais, beberapa perkara perlu ditentukan sebelum sebarang undang-undang atau tindakan dilakukan berhubung isu yang mendepani Azam Baki dan SPRM. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Isu berkenaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dilunaskan sepenuhnya mengikut fakta.
Itu yang disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Rais Yatim berhubung isu yang sedang hangat melanda badan yang bertanggungjawab mengelola berkenaan integriti rasuah negara ini, SPRM.
Menurut beliau beberapa perkara perlu ditentukan sebelum sebarang undang-undang atau tindakan dilakukan berhubung isu yang mendepani Azam Baki dan SPRM.
"Jadi lantaran ini belum selesai di peringkat fakta.
"Maka sebelum undang-undang dioperasikan, petua dan regulasi mesti dilandaskan kepada fakta dahulu, berapa jumlah saham sebenarnya? Bila saham itu dibeli? Atas nama siapa dibeli? Adakah atas nama sendiri atau atas nama pihak lain?" kata beliau dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Ujarnya, meskipun jaringan ataupun rentetan naratif mengenai situasi yang mendepani SPRM ketika ini sudah diketahui, namun kesahihannya belum dipastikan.
Justeru, beliau berharap penyiasatan dapat dilaksanakan oleh badan-badan bertanggungjawab serta berpengalaman agar segalanya dapat diselesaikan mengikut proses yang betul dan sesuai.
"Pandangan saya begini, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu, tugasnya ialah menasihati, tugasnya bukan menyiasat, begitu juga mengenai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang saya pengerusikan ini, tidak boleh membuat penyiasatan.
"Dia (LLPR) boleh meletakkan prinsip berasaskan undang-undang dan prinsip itu adalah dengan kuat kuasa Parlimen dan juga di bawah kuat kuasa Seksyen 14 Akta SPRM 2009.
"Oleh yang demikian, bagi meletakkan fakta yang sebenar, kesemua yang telah dihuraikan sama ada oleh yang berbahagia Tan Sri Ketua SPRM (Azam Baki) sendiri atau yang dirumus oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah harus disusul oleh pihak yang kompeten yang bererti pihak yang cukup syarat, bertauliah, yang boleh diharap dan boleh diiktiraf khidmatnya sebagai penyiasat," tambahnya.
#SPRM #Tan Sri Rais Yatim #integriti #Agenda Awani #Azam Baki #Rasuah #isu pemilikan saham
;