Isu AUKUS, penjawat awam enggan vaksin tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Afiezy Azaman
Oktober 11, 2021 07:08 MYT
Hari terakhir Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini dijadualmembahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan darurat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS) menjadi antara isu bakal dikupas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dijadual dibangkitkan pada sesi soal jawab lisan Waktu Pertanyaan Menteri oleh Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) kepada Menteri Kanan Pertahanan.
Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) pula akan meminta Perdana Menteri menyatakan tentang status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.
Pada sesi sama, Cha Kee Chin (DAP-Rasah) akan meminta Perdana Menteri menyatakan apakah terdapat cadangan daripada kerajaan untuk menambahkan kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 tahun 2021.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula diminta oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) untuk menyatakan sektor industri yang paling terjejas sejak negara dilanda wabak COVID-19 dan tahap kesediaan Kerajaan membuka kembali sektor ekonomi sepenuhnya.
Mesyuarat hari ini juga dijadual membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan darurat.
Perdana Menteri akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 17 hari bersidang.
#Parlimen #Aturan Urusan Mesyuarat #AUKUS #Perdana Menteri
;