Isu ancam keharmonian kaum mesti ditangani dengan pantas, cekap - Sultan Johor

Bernama
Januari 24, 2023 04:20 MYT
Sultan Ibrahim bertitah tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa akan mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah sebarang isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.
Baginda bertitah tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa akan mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika mengulas mengenai dakwaan tular mengenai satu bengkel peperiksaan yang dianjurkan khusus bagi pelajar Islam oleh sebuah sekolah menengah di sini, baru-baru ini.
"Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.
"Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.
"Ini juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka," titah baginda kepada Royal Press Office, yang dimuat naik menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Johor rasmi, semalam.
Sultan Johor bertitah tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.
"Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," titah baginda lagi.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi yang timbul mengenai penganjuran bengkel SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru.
KPM berkata pada 19 dan 20 Jan lalu, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.
KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Jan ini bertempat di hotel yang sama.
Menurut KPM, bengkel berkenaan dilaksanakan dan diasingkan secara bersiri bagi mengelakkan gangguan terhadap calon yang membuat persediaan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
-- BERNAMA
#Sultan Johor #bengkel spm #isu perkauman #diskriminasi kaum
;