Isu Ampang Park: MRT Corp tunggu keputusan mahkamah

Dania Zainuddin
Mei 8, 2017 18:59 MYT
NAJMUDDIN: Memandangkan isu ini telah dibawa ke mahkamah, untuk waktu ini tidak ada lagi perbincangan, tidak ada lagi mesyuarat yang dilakukan antara kami dengan pihak pemilik. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa syarikat itu tidak bertemu dengan pemilik kedai bagi menyelesaikan isu berkaitan Ampang Park.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, memandangkan isu ini sedang melalui prosiding undang-undang sebarang perbincangan antara MRT Corp dan pemilik lot dihentikan.
"Buat masa ini, kita akan tunggu keputusan mahkamah.
"Memandangkan isu ini telah dibawa ke mahkamah, untuk waktu ini tidak ada lagi perbincangan, tidak ada lagi mesyuarat yang dilakukan antara kami dengan pihak pemilik.
"Tidak benar untuk mana-mana pihak untuk mengatakan MRT Corp tidak pernah berjumpa dengan pengguna, dan pemilik peniaga di Ampang Park," kata Najmuddin dalam satu sidang media di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, MRT Corp sudah menawarkan reka bentuk alternatif bagi menyelamatkan bangunan Pusat Beli Belah Ampang Park daripada dirobohkan.
Cadangan ini bagaimanapun memerlukan kesemua 253 pemilik lot strata untuk bersetuju menyerahkan tanah kepada kerajaan bagi membina laluan pejalan kaki bawah tanah.
Namun cadangan ini tidak diterima dan 39 pemilik lot strata telah bertindak memfailkan Semakan Kehakiman terhadap kerajaan.
Mengulas cadangan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan kepada MRT Corp, Najmuddin berkata kesemua cadangan itu tidak boleh diterima pakai.
Antara cadangan yang disyorkan adalah penjajaran semula laluan MRT dan penempatan semula stesen MRT Ampang Park.
"Banyak kajian telah dibuat sebelum pemilihan jajaran dan lokasi stesen dan kajian ini menunjukkan jajaran yang telah dibuat adalah paling optimal," kata Najmuddin.
Walaupun isu ini sudah dibawa ke mahkamah, Najmuddin yakin ia tidak akan menganggu proses pembangunan laluan MRT yang dijangka siap pada tahun 2022.
#keputusan mahkamah #MRT #MRT Corp #Najmuddin Abdullah
;