Isu Amanah Ikhtiar akan diselesaikan dengan baik - Anwar
Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2018 00:26 MYT
Disember 7, 2018 00:26 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu pembatalan Sijil Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diselesaikan secara baik bagi semua pihak.
Pembatalan itu, katanya berikutan terdapat pelanggaran undang undang bagi sijil tersebut ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun perusahaan kecil dan di peringkat bawahan harus diberikan pertimbangan yang sewajarnya terutama bagi golongan pengusaha Melayu dan Bumiputera.
“Saya percaya perkara ini akan diselesaikan dengan baik kerana Amanah Ikhtiar itu saya juga yang mulakan dulu dan maksudnya kan membantu peringkat bawahan kecil, beberapa pelanggaran yang disebut timbalan menteri harus diselesaikan tetapi tidak harus jejaskan kepentingan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Konvesyen Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah 'Kerajaan Kedah: Cabaran & Harapan' di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Hanipa Maidin menyatakan hasrat untuk membatalkan sijil AIM.
Menurutnya, ianya berikutan wujudnya percanggahan dalam AIM termasuklah tidak mengemukakan Laporan Kewangan AIM bagi 2015-2016.