Isu alam sekitar: Setiap orang mampu lakukan perubahan - Dr Jane Goodall

Tan Su Lin
November 1, 2016 14:30 MYT
Jane Goodall yakin setiap manusia mampu melakukan kebaikan ke a5rah masa depan yang lebih cerah. - Foto AFP
"Setiap orang mampu membawa perubahan dengan cara mereka tersendiri, setiap hari."
Itu ungkapan pakar konservasi terkemuka dunia dan Pengutus Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr Jane Goodall terhadap peranan setiap masyarakat dalam menjamin masa depan bumi yang lebih cerah.
Saranan itu timbul dalam dunia menyaksikan kemusnahan alam sekitar akibat perbuatan manusia.
"Setiap orang mampu melakukan perubahan setiap hari. Ini sekali gus menolak perasaan seperti mereka tidak terdaya melakukan apa-apa kerana masalah dilihat terlalu besar.
"Namun dengan keupayaan media sosial, televisyen dan filem, ia dapat menggandakan setiap tindakan individu berkenaan sebanyak 100, malah 1 bilion kali ganda, ke arah dunia yang lebih baik," katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan Khazanah Global ke-12 di sini, pada Isnin.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Jane yang juga pakar haiwan primat menggariskan empat harapan untuk masa depan termasuk daya tahan alam sekitar seperti apa yang dapat diperlihat di Malaysia hasil usaha pemuliharaan hidupan liar.
"Di Malaysia, terdapat dua spesies yang hampir pupus iaitu penyu belimbing dan penyu hijau yang kini dilihat mula kembali ke pesisiran negara.
"Saya juga dikhabarkan bahawa hutan-hutan di Sabah sedang dipelihara dan kesungguhan semua pihak dalam memastikan habitat orangutan dipelihara termasuk spesies-spesies lain dalam hutan akan memastikan ia terus hidup untuk masa depan cucu cicit anda," katanya ketika berucap menyampaikan syarahannya bertajuk :"Menjaga Bumi, Sebab Untuk Harapan".
Tiga harapan lain, adalah kebijaksanaan minda manusia dalam mencari penyelesaian, keupayaan media sosial menyebarkan maklumat dan semangat berjuang manusia.
Majlis syarahan anjuran Khazanah Nasional Berhad itu dihadiri kira-kira 1,300 hadirin daripada wakil institut pengajian tinggi, NGO, kerajaan, swasta dan orang awam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Raja Zara Salim turut berkenaan menghadiri majlis berkenaan.
#isu alam sekitar #Jane Goodall #konservasi alam sekitar #pemuliharaan #pencemaran
;