Isu akaun dagangan: "Cukuplah, saya sudah jelaskan kepada ramai orang" - Azam Baki
Rahimah Abdullah
Mac 1, 2022 15:13 MYT
Mac 1, 2022 15:13 MYT
KUALA LUMPUR : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertegas tidak mahu lagi menjawab soalan mengenai kontroversi melibatkan akaun dagangan miliknya.
Kata Azam, isu berkenaan sudah ditutup dan beliau berpendirian untuk tidak lagi cuba memberi penjelasan.
"Mengenai perkara itu, saya tidak mahu lagi menjawab kerana isu ini saya rasa sudah ditutup. Saya rasa itu jawapan saya. Itu akan menjadi jawapan saya.
"Saya rasa cukuplah untuk saya jelaskan kepada ramai orang dan perkara itu telah ditutup," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Pada Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung isu pemilikan saham Azam sekali gus menamatkan inkuiri.
Susulan itu juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua pihak supaya menerima keputusan siasatan berkenaan dan menyifatkan keputusan SC sebagai badan profesional boleh dijadikan panduan kepada semua.