Isu air Selangor: Rakyat perlu tahu isu sebenar, beri tekanan kepada kepimpinan
Israr Khalid
Oktober 13, 2021 04:19 MYT
Oktober 13, 2021 04:19 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya satu perkara yang diharap dapat menyelesaikan masalah air di Selangor - rakyat perlu didedahkan kepada segala apa yang sebenarnya yang berlaku di sebalik kemelut tahunan ini.
Dengan itu, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran, rakyat dapat memberi tekanan kepada kepimpinan negeri untuk menjalankan tugas sebaiknya atau berdepan hukuman ditolak rakyat.
Beliau memberitahu, segala solusi telahpun digariskan dalam Dasar Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara namun ia tidak dilaksanakan oleh mereka yang dipertanggungjawabkan.
“Apabila kita tegur, mereka tersinggung. Tapi persoalannya, sudah berapa tahun, takkan mereka tak belajar?
“Kita dah buat model, gagal. Penswastaan, gagal. Kita buat pengkorporatan, pun gagal. Pun masih ada yang cuba buat perkara ‘under table’ dan sebagainya.”
Beliau tidak menafikan, negeri lain turut berdepan masalah bekalan air terawat, namun tidak seteruk Selangor, negeri yang paling kaya di negara ini, di mana kemelut ini sudah dianggap ramai sebagai acara tahunan sejak 2014.
Kata Piarapakaran lagi, sudah berbuih mulut memberikan nasihat, peringatan dan amaran namun ada sahaja alasan yang diberikan.
“Mereka kata, air di empangan melimpah, tiada masalah. Hujan lebat tapi kalau air mentah itu perlu dirawat, kita kena bina loji. Apabila kita cakap dengan orang yang sudah ‘bina tembok’, sama macam bercakap dengan tembok.
“Lebih baik kita bagi pendedahan kepada rakyat, apa sebenarnya isunya, dan mereka akan memberi tekanan kepada orang-orang yang mereka pilih, buat kerja atau penggal seterusnya ‘out you go.’”
Piarapakaran menjadi tetamu program Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Rabu. Tonton di sini: