Isu air Selangor: Kerajaan persekutuan sentiasa dahulukan rakyat - KeTTHA
Haider Yutim
Mac 6, 2014 11:19 MYT
Mac 6, 2014 11:19 MYT
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini menyangkal dakwaan Ahli Parlimen PKR-Pandan, Rafizi Ramli yang mengatakan bahawa perjanjian air yang dicapai antara kerajaan persekutuan dan negeri Selangor 'tidak menjaga kepentingan rakyat'.
KETTHA dalam sebuah kenyataan pada Khamis memaklumkan kerajaan persekutuan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dalam menyelesaikan isu air yang berlaku Selangor.
"Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini, Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih syarikat-syarikat air konsesi air Selangor dan menggabungkan operasinya di bawah suatu anak syarikat milik Kerajaan Negeri. Syarikat tersebut akan menjadi operator air bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Sebagai operator air, adalah menjadi tanggung jawab syarikat tersebut untuk menyediakan pelan perniagaan yang perlu dikemukakan untuk kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk mencadangkan sebarang semakan tarif yang diperlukan untuk memastikan kemampanan syarikat tersebut," kata kenyataan tersebut.
Menurut kementerian itu, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibuat secara dasarnya menggariskan 2 perkara utama iaitu pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dan Konsortium ABASS (ABASS) oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB); dan pemberian kelulusan-kelulusan yang diperlukan untuk membolehkan pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) dimulakan dengan kadar segera.
"Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan kebenaran merancang untuk membolehkan pelaksanaan LRAL2 dimulakan serta-merta.
"Kerajaan Negeri Selangor juga telah menyatakan komitmen untuk memberikan semua kelulusan yang diperlukan supaya air mentah dari Pahang dapat disalurkan untuk menampung keperluan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," kata kementerian itu lagi.
Melalui MoU tersebut, KETTHA memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih syarikat-syarikat air konsesi air Selangor dan menggabungkan operasinya di bawah suatu anak syarikat milik kerajaan negeri di mana Syarikat tersebut akan menjadi operator air bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kata kementerian itu, adalah menjadi tanggung jawab syarikat tersebut sebagai operator air untuk menyediakan pelan perniagaan yang perlu dikemukakan untuk kelulusan SPAN termasuk mencadangkan sebarang semakan tarif yang diperlukan untuk memastikan kemampanan syarikat tersebut.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat miliknya yang akan menentukan keperluan semakan tarif air berserta kuantum kenaikan tarif yang akan dikenakan kepada para pengguna. dengan mengambil kira pelan perniagaan bagi mengoperasikan pembekalan air bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," maklum KETTHA lagi.
Pada 26 Februari lalu, Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri Selangor telah mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian isu air yang membelenggu penduduk di negeri itu.
Ia dicapai selepas kedua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman, MOU bagi menyelesaikan isu berkenaan.
MoU ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
MoU itu bagaimanapun telah dipersoal oleh Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR yang mendakwa perjanjian itu tidak menjaga kepentingan rakyat.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kebijaksanaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menandatangani MoU itu dengan mengatakan perjanjian itu adalah berat sebelah dan lebih menyebelahi kerajaan persekutuan dalam beberapa aspek.