Isu air: PM Anwar jumpa MB Kelantan, KM Sabah minggu depan
Hilmi Malik
Mei 25, 2023 15:52 MYT
Mei 25, 2023 15:52 MYT
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan isu permasalahan air pada minggu depan.
Beliau berkata, pertemuan terbabit akan turut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Kewangan.
"Saya sedang mengatur pertemuan antara Kementerian Sumber Asli, Kementerian Kewangan dan Menteri Besar Kelantan.
"Begitu juga dengan Sabah, saya cuba ubah suai jadual (pertemuan) untuk minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan bahawa isu air di negeri-negeri terjejas akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurutnya meskipun kerajaan bakal berdepan belanja yang besar namun itu semua perkara yang perlu ditempuh demi kesejahteraan rakyat.
Tegas Anwar lagi, usaha itu juga sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan politik sebaliknya ia merupakan agenda kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat yang terjejas.
Dalam pada itu, katanya tindakan itu juga selari dengan janji kerajaan untuk membawa penyelesaian secepat mungkin terhadap sesuatu permasalahan yang timbul termasuk isu bekalan air.