Isu air: Penyelesaian di mahkamah sebagai langkah terakhir - MB Kedah

Bernama
Disember 25, 2020 15:36 MYT
Muhammad Sanusi memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan persekutuan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah untuk berunding. - Bernama
JERLUN: Kerajaan negeri Kedah tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata pihaknya masih mahu menyelesaikan perkara itu secara rundingan.
"Sekarang kita runding dahulu di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, lagipun kita sama-sama dalam Malaysia.
"Tetapi, sekiranya (temui) jalan buntu lagi, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri," katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks PAS Jerlun di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan negeri akan membawa isu tersebut ke mahkamah sekiranya Pulau Pinang tetap enggan membayar caj air yang dituntut kerajaan negeri Kedah.
Semalam, Muhammad Sanusi memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan persekutuan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah untuk berunding.
Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.
-- BERNAMA
#Kerajaan negeri Kedah #Kedah #pulau pinang #isu air #menteri bear kedah #sanusi md noor #mahkamah #bekalan air
;