Isu air: Ekonomi Selangor bakal terjejas
Astro Awani
April 7, 2013 14:51 MYT
April 7, 2013 14:51 MYT
Sebanyak 404 buah projek pembangunan tidak dapat diteruskan.
Itu angka yang membuktikan kegagalan kerajaan negeri Selangor menangani krisis air terawat di negeri itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata jika keadaan ini berterusan tidak mustahil Selangor akan menjadi negeri mundur satu masa nanti di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Menurut Noh Omar apa yang lebih membimbangkan ialah pelabur asing akan terus menjauhi Selangor akibat krisis air terawat berlarutan.
Situasi ini juga pastinya akan menjejaskan pembangunan negeri Selangor serta kesejahteraan kehidupan rakyat nya.
Beliau juga kesal kerajaan Selangor terus menggunakan dakyah kononnya tindakan mengambilalih keseluruhan konsesi air adalah untuk kepentingan rakyat.
Justeru bagi memastikan rakyat negeri Selangor dan Lembah Kelang termasuk Putrajaya menerima air terawat tanpa sebarang gangguan, Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pembinaan Loji Langat 2 biarpun kerajaan negeri Selangor berhasrat membawa perkara itu ke mahkamah.