Isu air di UMS, Anwar umum peruntukan RM3 juta
Fareez Azman
Mei 31, 2023 19:13 MYT
Mei 31, 2023 19:13 MYT
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
"RM700,000 itu cukup gerudi air? Total diperlukan berapa? Okay, satu gerudi air RM700,000 campur tiga, jadi saya luluskan RM3 juta.
"Untuk ini, sebab saya tidak mahu anak-anak (mahasiswa bermasalah). Ini keadaan sukar, saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan hutang negara RM1.5 trilion,"jelasnya.
Tambah Anwar, meskipun negara berdepan hutang yang tinggi, namun tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.
"Jadi bila saya minta wang bukan semudah itu. Tapi bila bercakap kesedaran, kalau anak-anak saya, anak-anak saudara nak mandi pun susah air tak cukup nak belajar," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pada Rabu.
Sebelum ini, lebih 20,000 mahasiswa UMS terkesan akibat krisis air selepas catuan sementara terpaksa dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akibat ketidakmampuan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong menampung keperluan.
LRA itu hanya mampu mengeluarkan 164 juta liter sehari (MLD) berbanding 190 MLD keperluan penduduk di daerah Tuaran, Sepanggar dan sekitarnya.