Isu agregator gas Sarawak: Petronas, Petros perlu muktamad rundingan dalam tempoh tiga bulan

Bernama
Julai 28, 2024 09:15 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melambai ke arah orang ramai pada Majlis Menaikkan Bendera Ibu Pertiwiku di Dataran Ibu Pertiwi di Petra Jaya, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai kawal selia minyak dan gas di Sarawak perlu dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata perbincangan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu sedang berlangsung dan Petronas meminta Sarawak menangguhkan pelaksanaan kawal selia gas di negeri itu buat sementara waktu.
"Terdapat kebimbangan mengenai pengagihan gas asli cecair (LNG). Namun, pihak kami (Sarawak) menghormati peraturan tersebut kerana kita juga mempunyai ekuiti dalam LNG.
"Kita ada saham, jadi inilah perbincangan antara pihak Petros dan Petronas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi di sini hari ini.
Abang Johari menegaskan bahawa perbincangan tersebut mesti diselesaikan sebelum 1 Oktober, jika tidak kawal selia akan dilaksanakan.
"Semua pihak lain telah menandatangani perjanjian, termasuk Shell dan kini Exxon yang dijangka akan ke Sarawak. Peluang dari segi kawal selia dan pencarian gas telah pun dimulakan dengan perbincangan yang berterusan," katanya.
Menurut RHB Investment Bank Bhd, Petronas dijangka kehilangan sebahagian daripada pendapatannya kerana tidak menjadi agregator tunggal di Sarawak.
-- BERNAMA
#isu agregator gas Sarawak #Petronas #Petros #Abang Johari Tun Openg #rundingan perlu dimuktamad