Isu 3R: Polis sahkan siasat Guan Eng

Hakim Rahman
Julai 9, 2023 20:41 MYT
Guan Eng sebelum ini dilaporkan mendakwa "gelombang hijau" bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima beberapa laporan polis dan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berhubung kenyataan yang dipercayai menyentuh isu 3R (Rulers, Religion, Race)
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Datuk G.Suresh Kumar, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad
Guan Eng sebelum ini dilaporkan mendakwa "gelombang hijau" bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Kenyataan tersebut dipercayai diucapkan oleh beliau semasa berucap dalam program "Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore - Malaysia Tour 2023" di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai 2023 yang lalu.
#Gelombang Hijau #hak agama #proses siasatan #spekulasi
;