Isu 3R: Polis rakam keterangan Muhyiddin di MIDA esok

Sinar Harian
Ogos 19, 2024 15:20 MYT
Razarudin berkata, polis akan merakam keterangan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi PRK Nenggiri di Gua Musang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di sini pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan merakam keterangan berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
"Kita akan merakam keterangan beliau (Muhyiddin) pada jam 11 pagi di MIDA.
"Setakat ini, kita telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook semalam, juga menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. - Sinar Harian
#Muhyiddin Yassin #3R #laporan polis #Yang di-Pertuan Agong