Isu 3R: Pemimpin pembangkang berisiko jika undang-undang dikuat kuasa, kata Saifuddin
Sinar Harian
Mac 8, 2025 07:15 MYT
Mac 8, 2025 07:15 MYT
Saifuddin mengingatkan pemimpin politik agar tidak lagi menjadikan isu 3R sebagai modal politik kerana boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam negara. - Gambar Bernama
POKOK SENA : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mencetuskan ketegangan dalam masyarakat, pemimpin pembangkang akan menjadi kumpulan yang paling ramai terlibat.
Beliau mengingatkan agar pemimpin politik tidak lagi menjadikan isu berkaitan agama, kaum, dan institusi diraja (3R) sebagai modal politik kerana ia boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam negara.
“Saya boleh sahkan bahawa jika tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada, ramai dalam kalangan rakan-rakan Yang Berhormat Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) terkesan.
“Jika saya atau pihak polis ingin menguatkuasakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi, atau undang-undang lain, mereka akan menjadi antara yang paling ramai dikenakan tindakan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di Masjid Ar-Raudhah, di sini pada Sabtu.
Saifuddin berkata, politik seharusnya berlandaskan dasar dan penyelesaian kepada isu rakyat, bukan menggunakan sentimen perkauman atau keagamaan bagi meraih sokongan.
Sebelum ini, Pas melalui Takiyuddin menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak secara adil dan telus dalam menangani isu keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan hanya sekadar menafikan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain, ia akan memburukkan lagi persepsi rakyat serta memberi ruang kepada pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin turut mendedahkan bahawa sebanyak 12,101 kes keciciran dokumentasi seperti sijil kelahiran, sijil warganegara, dan MyKad melibatkan pelajar sekolah telah didaftarkan di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Didik.
“Data ini diperoleh daripada Kementerian Pendidikan dan saya telah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyelesaikan semua kes menjelang Jun ini. Setakat ini, sebanyak 4,565 kes atau 38 peratus telah berjaya diselesaikan,” katanya. - Sinar Harian