Isu 3R lenyap selepas pilihan raya berakhir - Arvend Applasamy

Astro Awani
Ogos 25, 2023 06:45 MYT
Arvend Applasamy (kiri) dan Muhammad Ajwad Khairul Azli berpendapat, usaha berterusan perlu dipergiatkan bagi meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan belia.
KUALA LUMPUR: Isu agama, raja dan kaum (3R) dilihat lenyap selepas tamat pilihan raya namun dibangkitkan semula setiap kali tempoh kempen menghampiri.
Tokoh Belia Negara 2022, Arvend Applasamy berkata, golongan belia masa kini perlu berani tampil ke hadapan bagi memastikan situasi ini tidak lagi berulang di masa hadapan.
"Kita tidak boleh meletak perkara ini di bahu pemimpin semata-mata. Bak kata Soekarno berikan ku 10 belia akan ku goncangkan dunia.
"Bermaksudnya apa, apabila isu seperti ini 3R berlaku anak muda perlu menjadi frontliner di hadapan untuk bangkit dan menentang sekeras-kerasnya isu yang remeh temeh. Belia harus be the change," katanya dalam program Dialog Anak Muda.
Tambahnya, ini kerana golongan belia mempunyai sumber maklumat di hujung jari yang mampu membuat perbandingan dan memahami keadaan semasa sekaligus membuat keputusan yang rasional dalam memilih pihak yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan.
Dalam masa sama, Duta Perpaduan Selangor, Muhammad Ajwad Khairul Azli berpendapat, usaha berterusan perlu dipergiatkan bagi meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan belia.
"Ketika ini anak muda disibukkan dengan dunia hiburan dan perkara ini agak light di situ. Ini yang saya nak tekankan peranan para pemimpin dan orang dewasa, untuk pupuk dan guide us agar kami sedar dan libatkan kami dalam aktiviti yang membuatkan kami sedar yang kami ada tanggungjawab untuk negara kami," katanya.
#perpaduan #pilihan raya #Belia #Arvend Applasamy
;